Rabu, 24 Jun 2026
ISLAH ISLAHFakta. Data. Konteks.
Tuntas

Perang Iran buka mata Malaysia terhadap krisis tenaga

Krisis tenaga global akibat Perang Iran mendorong Malaysia untuk menangani cabaran bekalan menerusi dua cara: pelaksanaan subsidi bersasar bagi mengawal kos sara hidup rakyat untuk jangka masa pendek, dan mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.

Wartawan IslahWartawan
· 18 Jun 2026

Perang Iran yang bermula sejak awal tahun ini membuka mata ramai pihak mengenai isu bekalan tenaga. Jika sebelum ini, keselamatan tenaga atau energy security hanya menjadi bualan pembuat dasar, badan pemikir dan pemain industri, lonjakan harga minyak susulan perang tersebut telah 'menghentak' kehidupan rakyat marhaen.

Sumber tenaga datang daripada pelbagai sumber alam- antaranya minyak mentah, gas, arang batu. Ini adalah kategori tidak boleh diperbaharui dan jumlahkan berkurangan setiap tahun akibat penggunaan manusia. Selain itu, sumber tenaga boleh diperbaharui dijana daripada solar, angin, hidro, biojisim dan tenaga gelombang laut.

Apabila perang berlaku, dunia berdepan dengan kenaikan harga minyak akibat sekatan Selat Hormuz oleh Iran. Ini kerana lebih 20% bekalan minyak mentah dunia perlu melalui selat itu untuk dihantar.

Malaysia turut terkesan dengan krisis tenaga ini walaupun mempunyai bekalan minyak sendiri. Ramai kurang faham mengenai kedudukan unik negara. Walaupun Malaysia merupakan pengeksport bersih petroleum dari segi nilai perdagangan, minyak-minyak tersebut merupakan jenis berkualiti tinggi dan tidak digunakan untuk kegunaan domestik.

Hasil jualan tersebut membawa keuntungan dan Malaysia boleh menggunakan keuntungan itu untuk mengimport lebih banyak minyak dengan kualiti yang lebih sesuai digunakan untuk pasaran massa. Sebagai rekod, Malaysia mempunyai lebihan dagangan tenaga hampir RM20 bilion.

Mengikut data sedia ada daripada Jabatan Statistik, pada suku pertama tahun ini Malaysia mengimport RM7.3 bilion minyak mentah yang mana 32.8% datang dari Kuwait, 19.9% dari Arab Saudi dan 13.1% dari Amerika Syarikat. RM22.3 bilion produk petroleum bertapis diimport dari Singapura, Korea Selatan dan China manakala RM1.3 bilion gas LNG diimport dari Australia.

Seperkara yang harus diingat, Malaysia merupakan pengimport bersih petroleum dari segi jumlah penggunaan domestik apabila diukur berdasarkan jumlah tong sehari. Dalam erti kata lain, Malaysia menggunakan lebih banyak minyak berbanding jumlah yang dieksport.

Mencari keseimbangan

Malaysia juga amat bergantung kepada bekalan arang batu dari luar negara untuk menjana elektrik. Data dari Kpler menunjukkan sebanyak 30 hingga 35 juta metrik tan arang batu diimport setahun bagi penjanaan elektrik.

Bagi jangka masa pendek, kerajaan Madani menumpukan keseimbangan antara keupayaan fiskal dan keselesaan rakyat. Subsidi pukal minyak petrol, diesel dan bekalan elektrik diganti dengan subsidi bersasar yang mengurangkan pembaziran tanpa terlalu membebankan aspek kos sara hidup untuk golongan bawahan.

Lebihan wang daripada penjimatan tersebut boleh digunakan untuk sumbangan tunai yang lebih tersasar, mengurangkan kadar defisit selain menjamin bekalan tenaga.

Setakat ini, kerajaan mempunyai cukup bekalan minyak sehingga Julai menurut penasihat kanan kerajaan, Nurhisham Hussein, Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan di Pejabat Perdana Menteri dalam satu temu bual baru-baru ini.

Jika dibanding dengan negara ASEAN lain, Malaysia tidak menyaksikan pembelian panik atau catuan petrol. Filipina sebagai contoh, terpaksa mengisytiharkan kecemasan. Kos bahan api yang tinggi memberi kesan rantaian kepada setiap sektor, sekali gus melonjakkan harga makanan dan mencetuskan inflasi teruk yang sangat menekan isi rumah biasa. Harga minyak naik 50% di Filipina, Vietnam, Kemboja dan Myanmar.

Singapura tidak terkecuali apabila tarif elektrik di negara pulau itu terpaksa dinaikkan. 95% bekalan elektrik SIngapura dijana menerusi gas LNG yang mana 60% bekalan LNG diimport dari Qatar.

Laos mengurangkan hari persekolahan kepada tiga hari. Beberapa negara termasuk Malaysia menjalankan dasar bekerja dari rumah. Myanmar melaksanakan catuan petrol untuk kenderaan persendirian.

Khusus di Malaysia, sektor logistik, pengangkutan dan pertanian terkesan dengan kenaikan diesel namun kerajaan mempunyai mekanisme subsidi bersasar seperti budi diesel dan budi agro-komuniti untuk menanganinya.

Inisiatif jangka panjang

Perkembangan terbaru antara Tehran dan Washington juga menunjukkan tanda-tanda positif harga minyak bakal turun apabila Selat Hormuz dibuka. Namun ia bukanlah bermakna isu bekalan tenaga boleh dilupakan. Putrajaya mempunyai cita-cita besar menerusi Peta Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang mana negara mahu mengurangkan penggunaan arang batu sebanyak 50% menjelang 2035. Malaysia menyasarkan 40% kapasiti penjanaan elektrik terpasang datang daripada sumber boleh diperbaharui menjelang 2035.

Bagi memastikan bekalan tenaga Malaysia tidak lagi bergantung kepada bahan-bahan import yang tidak mesra alam, kerajaan memperkenalkan inisiatif lain antaranya Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP), Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), dan Dana Kemudahan Peralihan Tenaga Negara (NETF).

Dalam bahasa Mudah, CGPP adalah inisiatif yang membolehkan syarikat korporat mendanai ladang solar yang menjana tenaga ke dalam sistem grid nasional. Kerajaan tidak perlu menanggung kos pembinaan projek secara langsung dan sebagai timbal balas, syarikat akan mendapat pengiktirafan yang membuktikan mereka menyokong dasar tenaga bersih.

CRESS pula membuka 'lebuh raya' grid nasional yang mana syarikat-syarikat tenaga hijau boleh menjual bekalan elektrik secara terus kepada syarikat-syarikat besar menggunakan rangkaian grid kebangsaan dengan sedikit caj.

NETF ibarat satu tabung untuk teknologi futuristik. Membina bateri berskala grid untuk menyimpan tenaga solar atau menjana tenaga hidrogen memerlukan modal yang besar, dan bank-bank konvensional tidak mahu mengambil risiko untuk memberikan pinjaman. Wang daripada NETF bertindak sebagai 'seed money' untuk projek-projek kompleks ini, seterusnya menggalakkan bank memberi pinjaman untuk baki yang diperlukan untuk projek tersebut.

Tidak dinafikan, krisis bekalan tenaga telah memberikan satu cabaran kepada kerajaan, namun dengan sasaran dan pelan hala tuju yang jelas, peralihan tenaga dapat dilakukan dengan lancar dan pada masa yang sama, memberikan manfaat kepada rakyat terbanyak dalam bentuk pelaburan dan penciptaan peluang pekerjaan.