Rabu, 24 Jun 2026
ISLAH ISLAHFakta. Data. Konteks.
Tuntas

Kenapa kerajaan tidak perkenal pakej rangsangan ekonomi?

Krisis bekalan tenaga kali ini berbeza dengan Covid-19 mahupun krisis Sub-prima yang memerlukan kaedah berbeza untuk menanganinya.

Wartawan IslahWartawan
· 22 Jun 2026

Kejutan bekalan atau 'supply shock' berisiko melumpuhkan ekonomi sesebuah negara jika ia berterusan dalam dunia yang mana rantaian bekalan tidak lagi terhad dalam negara itu. Kekurangan bekalan bermakna aktiviti ekonomi tidak boleh berjalan seperti biasa dan ia mempunyai kesan domino yang mampu menjejaskan kehidupan rakyat.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapakah dalam keadaan krisis tenaga dunia akibat Perang Iran, kerajaan masih belum memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bagi membantu rakyat? Pakej rangsangan ekonomi merujuk kepada beberapa langkah kerajaan yang direka untuk meningkatkan aktiviti ekonomi ketika kemelesatan.

Objektifnya ialah untuk meningkatkan perbelanjaan, melindungi pekerjaan, menyokong perniagaan dan menghalang ekonomi daripada menguncup.

Dalam beberapa krisis sebelum ini, kita melihat rangsangan atau stimulus dilaksanakan. Sebagai contoh, semasa pandemic Covid-19, kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan seperti PRIHATIN, PENJANA dan PEMERKASA yang mana jumlahnya mencecah ratusan billion ringgit.

Begitu juga semasa dunia dilanda krisis sub-prima yang mana kerajaan melaksana dua pakej rangsangan iaitu Pakej Rangsangan Pertama pada 2008 dan Pakej Rangsangan Kedua pada 2009 dengan nilai RM67 bilion.

Tetapi krisis kali ini berbeza dari segi jenis masalah ekonomi. Pada 2008, negara berdepan dengan kejutan permintaan atau 'demand shock' yang mana isi rumah dan perniagaan tidak berbelanja. Begitu juga dengan krisis pandemik pada 2020 yang mengakibatkan kehilangan pendapatan.

Krisis kali ini berlaku kerana kejutan bekalan yang menaikkan harga barangan dan bahan bakar. Ia tidak berpunca daripada kekurangan perbelanjaan. Ini bermakna, sebarang pelancaran pakej rangsangan secara meluas hanya akan memburukkan lagi situasi inflasi negara.

Secara amnya, suntikan rangsangan yang bersifat menyeluruh akan meningkatkan kuasa berbelanja dalam ekonomi. Walau bagaimanapun, dalam keadaan rantaian bekalan yang terhad, peningkatan permintaan sedemikian sebaliknya cenderung melonjakkan harga barangan berbanding meningkatkan hasil pengeluaran.

Pemberian sokongan bersasar dilihat jauh lebih efektif berbanding bantuan bersifat menyeluruh. Komitmen bantuan ini telah disalurkan secara terus kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mikro-perusahaan, serta golongan rentan. Kerjaan telah pun menyediakan RM5 bilion pinjaman kepada perniagaan menerusi Bank Negara Malaysia, RM5 bilion menerusi skim jaminan kerajaan dan RM5 bilion lagi menerusi program pembiayaan mikro.

Jadi, jika bukan langkah rangsangan, apakah yang telah dibuat oleh kerajaan? Sebenarnya kerajaan telah pun mengenalpasti keutamaan-keutamaan dalam krisis ini.

Pertama, kerajaan telah memastikan jaminan bekalan dengan mendapatkan bekalan minyak dan gas yang diperlukan untuk aktiviti ekonomi negara.

Kedua, kerajaan mengenal pasti titik tekanan dalam ekonomi dan menentukan tindakan susulan yang sewajarnya. Ketiga, kerajaan mengekalkan sokongan terhadap golongan rentan dengan menerusi harga RON95 yang disubsidikan.

Oleh kerana kerajaan telah melaksanakan pembaharuan dari segi perbelanjaan negara sejak tiga tahun lalu, Malaysia berdepan dengan krisis daripada posisi yang lebih kukuh berbanding kebanyakan negara lain. Sebagai contoh, pembaharuan subsidi dan harga telah mengurangkan beban fiskal secara ketara.